Thursday, October 11, 2018

AL-HUJURAT (AYAT 11)


Manusia diberikan kelebihan oleh Allah anugerah ‘lisan’ untuk berbicara dalam pelbagai bahasa dan berkomunikasi sesama mereka. Lisan ibarat pedang bermata dua, ia boleh mencegah kemungkaran di tengah masyarakat dan ia juga boleh memecah-belahkan kaum Muslimin menurut kehendak syaitan.

Ayat ke-11 Surah Al-Hujurat menyenaraikan beberapa bentuk kejahatan lisan, antaranya perbuatan merendah-rendahkan sesama saudara yang timbul atas dasar kesombongan dan keangkuhan.

Rasulullah S.A.W. bersabda (yang bermaksud) :
“Kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendahkan manusia.” 
[Riwayat Muslim]






Sebab turunnya bahagian awal ayat ini ialah apabila sekumpulan sahabat dari bani Tamim mempersendakan Bilal bin Rabah, Salman Al-Farisi dan Ammar bin Yasir yang kesemuanya adalah bekas hamba. Dalam ayat ini Allah SWT menegaskan kepada orang beriman bahawa di sisi Allah SWT, Bilal, Salman dan Ammar adalah lebih mulia dari golongan yang mempersendakan mereka. Allah SWT tidak memandang asal keturunan mereka tapi pengorbanan mereka untuk agama-Nya.

Sebab turunnya bahagian “…dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk” dalam ayat ke-11 ini adalah sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadis yang dilaporkan oleh Abu Jubayrah ibn Ad-Dahhaak di mana satu ketika Rasulullah SAW pernah memanggil seorang sahabat dengan nama yang biasa beliau dipanggil, maka beberapa sahabat yang lain memberitahu Rasulullah SAW sebenarnya sahabat yang dipanggil itu tidak berapa menyukai panggilan tersebut. Maka bahagian ayat ini pun diturunkan tidak lama kemudian. Hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud.

Pengajaran dari ayat ini :
Jangan menghina, mencela atau memberi gelaran buruk kepada orang lain kerana mungkin mereka jauh lebih baik.



No comments:

Post a Comment