Dua orang lelaki ditempatkan di dalam
sebuah bilik wad hospital. Mereka berdua menunggu rawatan selepas menjalani
pembedahan dan rawatan mata. Lelaki pertama, seorang yang masih muda, katilnya
berada di tingkap bilik. Lelaki kedua pula sudah hampir mencecah setengah abad
usianya. Katilnya jauh dari tingkap bilik. Sebelah matanya cedera dan masih
berbalut, malah kakinya lumpuh dari pinggang ke bawah akibat kemalangan. Oleh
kerana keadaan sedemikian, dia tidak mampu bergerak dan matanya yang sebelah
itu hanya mampu memandang siling wad.
Oleh yang demikian, dia meminta rakan
sebiliknya itu menceritakan suasana di luar wad menerusi tingkap. Maka, setiap
hari lelaki muda itu akan menceritakan suasana yang dilihatnya di luar tingkap.
Pelbagai gambaran kehidupan kedengaran di telinga lelaki tua rakan sebiliknya
itu. Digambarkan suasana tasik di luar, bangku kayu di bawah pokok rendang,
kehijauan rumput yang terhampar bak permaidani dan pelbagai lagi.
Langskap alam yang indah itu diceritakan
saban hari penuh detil tanpa jemu. Penuh perasaan dan penghayatan. Lelaki tua
itu bertambah teruja hari demi hari. Dia ingin menatap sendiri keindahan alam
itu. Dia ingin bangun dan berjalan menuju ke tingkap. Alhamdulillah, sebelah
lagi matanya masih berfungsi. Kini, dia cuma perlu berusaha untuk berdiri dan
bertatih.
Sebelum sempat lelaki tua tersebut
bertatih, pemuda itu sudah terlebih dahulu keluar dari hospital. Maka,
tinggallah lelaki tua dengan segunung harapan untuk melihat langskap alam
tersebut. Pada suatu pagi, lelaki tua itu sudah mampu berdiri. Dia maju
selangkah demi selangkah ke hadapan lalu menuju ke arah tingkap. Alangkah
terkejutnya dia apabila mendapati tiada tasik sebagaimana yang digambarkan oleh
rakan sebiliknya. Yang ada hanyalah tembok batu dan pagar hospital.
PENGAJARAN :
Jika bersedih dan lemah
semangat, carilah kembali semangat tersebut di sebalik penciptaan alam ini. Ini
kerana di sebalik alam ini tersirat kasih sayang Allah terhadap makhlukNya.
Sanggupkah kita menjadi insan yang lemah longlai dan tidak bermaya, sedangkan
Allah telah membekalkan segala kemudahan buat hambaNya? Itulah bekal untuk
menjadi hamba dan khalifah terbaik.
No comments:
Post a Comment