#TIPS_GENIUS
Sejak dulu saya selalu dengar kawan-kawan yang hantar anak ke tahfiz sejak kecil, kemudian selepas menjadi hafiz Quran, mereka hantar anak tu ambil SPM, selalunya mesti keputusannya cemerlang...
Padahal yang sekolah akademik sejak kecil, tak semua sehebat tu...
Begitu juga para ulama terdahulu, kita sering baca kisah hebat mereka menghafal ratusan ribu hadith dan sebagainya....
Dan menjadi hafiz Al-Quran pada zaman ulama silam merupakan sesuatu yang terlampau biasa sehinggakan orang yang tidak hafiz Al-Quran pula dianggap sesuatu yang aneh dan aib.
Jadi saya terfikir, apa rahsia mereka?
Saya mulanya hanya beriman bahawa asbab keberkatan mereka menjadi hafiz Al-Quranlah Allah bantu mereka walaupun dalam pelajaran akademik...
Tapi selepas lama mengkaji, memerhati dan bertanya kepada para ulama serta saintis, saya dapati satu conclusion yang saya kira agak baik.
Rahsianya terletak kepada pembacaan Al-Quran itu sendiri...
Melazimi membaca Al-Quran dengan istiqamah akan "melajukan" otak kita....
Kata-kata itu saya dapati dari guru-guru saya... walaupun mulanya saya tak berapa faham...
Tapi apabila saya mula amati pembacaan Al-Quran saya, memang benar, otak kita perlu bertindak dengan pantas untuk mengawal seluruh aktiviti pembacaan Al-Quran yang lancar...
Sekiranya otak saya lambat berfungsi, maka pembacaan saya akan menjadi tergagap-gagap dan tersekat-sekat.
Hal ini saya fahami ketika saya masih sekolah menengah di MRSM dahulu, guru Biologi saya ketika itu menceritakan tentang otak dan dia juga menyebutkan tentang pembacaan Al-Quran dapat mengaktifkan banyak sel-sel otak tanpa perlu minum susu Anmum Essential....
Bagaimana ia berlaku?
Ok, logik dan saintifiknya begini...
Bila kita buka mushaf Al-Quran dan mula melihat ayat-ayat Al-Quran...
Kita akan buka mulut untuk membaca, dan ketika itu otak kita dengan lajunya memproses data berkenaan Al-Quran itu, misalnya huruf apa yang terpapar, bunyinya macam mana, makhrajnya di mana, jika ia bersambung dengan huruf lain, bagaimana tajwidnya, harus dibaca panjang, pendek, jelas, dengung, isymam atau imalah dan sebagainya...
Apatah lagi ia perlu dibaca dari kanan ke kiri, berbeza dengan kebiasaan kita membaca dari kiri ke kanan...
Dalam masa yang sama, mulut kita perlu mula bergerak untuk bunyikan ia. Bermakna, otak kita perlu buat keputusan dengan segera bagaimanakah cara bacaannya!
Berbeza dengan baca surat khabar atau buku dengan bahasa Melayu atau Inggeris, otak kita tak perlu susah-susah buat keputusan sebab hukum bunyinya tidak banyak berbanding membaca Al-Quran yang hukum bunyinya terlampau banyak (melainkan kita baca Al-Quran tanpa tajwid dan tanpa tartil).
Dan yang menariknya, bila mulut kita masih membaca perkataan Al-Quran yang pertama, mata kita sudah pun melihat kepada perkataan kedua dan mula memproses data sekali lagi secepat mungkin untuk pembacaan kita.
Jadi ketika membaca Al-Quran, otak kita perlu bekerja dengan sangat laju. Data yang dihantar-diterima otak bergerak sepantas kilat untuk menghasil aktiviti bacaan di lidah, dan mata yang memandang kepada mushaf tersebut.
Jadi apabila seseorang itu membaca Al-Quran sambil melihat mushaf (naskhah Al-Quran) dengan lancar dan cantik lengkap dengan tajwid dan tartilnya, itu bermakna otaknya sedang bergerak dengan sangat laju.
Dan yang lebih menarik, bilamana Al-Quran dialunkan, tentu ianya bernada indah tanpa kita sedar. Padahal kalau kita baca buku selain quran, tak pulak jadi macam tu.
Jadi nada indah beralun yang keluar ketika quran dibaca tu menjadi terapi telinga yang sekaligus menghantar terapi tu ke otak dan merehatkan seluruh badan kita.
Jadi, walaupun otak bergerak laju semasa membaca quran, nada yang indah tu membawa kita ke situasi badan yang rileks dan tenang menyebabkan kita tidak penat.
Berbeza kalau kita gunakan otak untuk perkara lain, misalnya nak selesaikan soalan Add Math. Kadar tenaga otak yang digunakan sangat tinggi, dan lepas selesai dijawab, kita terasa sangat penat.
Sedangkan badan kita tak bergerak pun. Penat tu berlaku sebab otak kita yang penat.
Pembacaan quran pula menggunakan otak kita dengan kuat, tetapi tidak memenatkan langsung!
Dan apabila latihan otak ini dilakukan setiap hari, maka sel-sel otak kita akan berhubung dan menjadikan kita genius dengan izin Allah...
Maka gejala kebodohan khususnya yang berlaku pada zaman ini dapat dikurangkan dengan perbanyakkan membaca Al-Quran...
Oleh sebab itulah umat Islam terdahulu majoritinya genius walaupun kemudahan rujukan mereka terhad...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment