Monday, April 2, 2018

REHLAH TARBAWI BANTU DIDIK ANAK SECARA SANTAI

Peserta bersemangat memulakan rehlah tarbawi dengan senaman ukhuwwah yang dipimpin Izzat Zafri
30 Mac 2018 : SERAMAI  150 kanak-kanak dari pelbagai latarbelakang berumur antara 6 hingga 13 tahun telah menyertai program ‘Rehlah Tarbawi’ di Dataran Taman Rimba Alor Setar Kedah anjuran Smart IQ Quranic Centre (SIQC)  baru-baru ini.
Pengarah Urusan SIQC, Ustazah Syahrul Haninah Binti Mohd Salleh berkata, program itu adalah salah satu dari siri-siri tarbiah kanak kanak bagi memberikan kesedaran akhlak dan nilai anak soleh yang dijalankan oleh SIQC secara santai dengan pelbagai aktiviti menarik.
“Ini adalah sebahagian dari kerja sosial kami bersama komuniti kanak-kanak, selain itu kami juga menjalankan aktiviti tarbiah santai lain seperti qiamullail, sembang santai, usroh anak soleh dan lain-lain lagi.
“Program ini adalah diharapkan dapat membantu ibu bapa dalam mendidik anak –anak agar berjaya di dunia dan akhirat”.
“Justeru kami mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir sama dalam program rehlah tarbawi tersebut seperti pihak berkuasa tempatan termasuk pengurusan anak-anak yatim daripada Pusat Jagaan Anak Yatim SIQ,” katanya.
Manakala Mohd Izzat Zafri sebagai jurulatih program rehlah tersebut ketika ditemui berkata, program ini dijalankan dengan pelbagai aktiviti permainan agar dapat menarik minat peserta mempelajari sesuatu berasakan aktiviti dalam permainan tersebut seperti ‘kids explorace, senaman ukhuwwah, latihan dalam kumpulan dan membina identiti kumpulan.
Beliau berkata, ia adalah salah satu langkah awal untuk peserta mengenal potensi diri dan ciri-ciri akhlak mulia sebagai seorang anak dan pelajar sebelum meningkat  kealam remaja
 “Melalui aktiviti ini peserta dapat berkenalan satu sama lain selain dapat mempelajari adab dalam bertutur kata sesama rakan dan adab bersama orang yang lebih tua, sekali gus sebagai suatu motivasi menjadikan mereka anak soleh dan solehah,” katanya.
Program yang bermula jam 9 pagi itu berakhir pada jam 12 tengahari dengan acara penyampaian hadiah dan cabutan bertuah.

No comments:

Post a Comment